Tuesday, October 28, 2008

Sepahit Madu

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati
saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara
tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak
Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi
rupa-rupanya..." Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya....."

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan
kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara
Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang
dia
kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya
berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila
memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih
hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

" Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan
jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya.
Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan
pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa
inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang
tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati
gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang
bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya
sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya,
namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah,
Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri
melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah
nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun
sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri
tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir
memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk
dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman
sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran
pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi
pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan
dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar
takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas
berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui
Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah
atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta
sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya,
Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin,
sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang
tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun
kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin
tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja
dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap
kali
turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu
kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar
berdakwah,
seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum
berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga
berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah
suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu
dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah
Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke
arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam
gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya
membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri
yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah
sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg
berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh
ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari
Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan," jawab Fikri.

***

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan
anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau
suami-suami)
kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan
perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal
yang
kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai
lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya,
maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya);
kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik
(derhaka)."

[QS al-Taubah 9:24]

No comments: